Friday, October 29, 2010

KENAPA DEGIL?

PERSOALAN ini selalu sahaja ditimbulkan apabila berlakunya sesuatu insiden yang melibatkan murid sekolah akhibat daripada perbuatan salah laku mereka.

Walaupun jumlahnya kecil tetapi ia membimbangkan kerana murid-murid ini bukan sahaja melakukan kesalahan ini di persekitaran sekolah tetapi di persekitaran awam. Laporan akhbar menunjukkan remaja belasan tahun ini banyak melakukan kesalahan jenayah yang kesannya melibatkan orang awam.

Perbuatan seperti merempit, vandalisme, ponteng sekolah serta penglibatan dalam budaya gangsterisme merupakan sebahagian salah laku yang boleh membawa padah yang buruk sehinggalah menyebabkan kematian.

Setiap perhimpunan sekolah atau pengajaran di bilik darjah, guru tidak jemu-jemu mengingatkan murid-murid tentang pentingnya aspek disiplin pada diri mereka. Malah guru-guru kaunseling sedia memberi khidmat nasihat dalam menyelesaikan sebarang masalah yang dihadapi oleh mereka.

Sayang sama sekali kadangkala nasihat dan tunjuk ajar ini tidak diendahkan oleh murid-murid tetapi hanya mampu masuk ke telinga kanan dan akhirnya keluar ke telinga kiri sahaja.

Kenapa murid-murid begitu degil sehinggakan sanggup melakukan pelanggaran disiplin yang akhirnya merugikan diri mereka sendiri?

Kedegilan ini mungkin disebabkan beberapa faktor seperti tidak berminat mengikuti pelajaran, pelajaran tidak menarik, kurang perhatian, kawalan, dan pemantauan daripada pihak ibu bapa, inginkan kebebasan dan pengiktirafan serta pengaruh rakan sebaya.

Faktor di atas boleh dibendung dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk guru, ibu bapa dan orang awam. Pengajaran yang menarik, memotivasikan serta melibatkan penyertaan semua murid dalam sesuatu aktiviti mampu menarik minat murid dalam pengajaran di kelas ataupun dalam aktiviti kokurikulum.

Manakala ibu bapa harus memantau anak-anak mereka terutamanya pada waktu malam di mana murid-murid ini terlibat dalam aktiviti-aktiviti yang tidak sihat. Ibu bapa seharusnya mengetahui di mana anak mereka berada, kenapa berada di situ, dengan siapa ia berkawan dan apakah akiviti yang ada di situ. Alasan ada kelas tambahan, tuisyen, aktiviti kokurikulum, berbincang di rumah kawan dan keluar dengan kawan adalah di antara alasan yang kerapkali diberi apabila anak-anak ini ingin keluar dari rumah. Oleh itu ibu bapa haruslah berhati-hati agar mereka tidak tertipu dengan alasan tersebut tanpa usul periksan.

Sebagai seorang murid sekolah, murid-murid haruslah sedar tanggungjawab masing-masing agar apa yang dilakukan tidak bercanggah dengan peraturan dan undang-undang. Sebagai seorang murid pada usia yang masih muda ini, tumpuan haruslah diberikan pada pembelajaran yang mampu memberi panduan dan jaminan di masa hadapan tanpa memikir dan melakukan perbuatan yang sia-sia itu.

Falsafah di sebalik pemansuhan UPSR

PENGGUBALAN apa juga sistem dan proses dalam pendidikan memang dibenarkan. Hal ini kerana Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) tidak mengehadkan seseorang pelajar untuk membuat apa, menjadi apa atau bersikap bagaimana ketika berada dalam sistem.

Asalkan pelajar boleh menyesuaikan diri mereka dengan pelbagai perubahan yang berlaku sepanjang hayat mereka, maka sistem dibenarkan untuk berubah.

Guru perlu tahu dan faham akan hal ini kerana kebanyakan yang kurang senang dengan cadangan itu, khabarnya ialah mereka - para guru sendiri.

Sebenarnya, kita tidak perlu bimbang akan keselesaan dan kesenangan yang kita kecapi selama ini akan tergugat kalau yang kita fikirkan ialah masa depan anak-anak kita dan negara.

Jadi, bila ada cadangan untuk memansuhkan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) saya tidak ada alasan untuk membuat bantahan kerana sistem pendidikan kita terbuka kepada perubahan yang dinyatakan dalam FPK.

Namakan apa sahaja - evolusi, revolusi, penambahbaikan - tujuannya adalah sama, menyediakan anak-anak kita dengan perubahan yang bersesuaian dengan zamannya nanti.

Memang tidak ada yang kekal di muka bumi Allah ini kecuali perubahan. UPSR bukan makalah wahyu yang tidak boleh diubah semata-mata ia telah dilaksanakan lebih daripada 15 tahun.

Secara asasnya, FPK - daripada dahulu sehingga sekarang - ialah pembangunan modal insan bermatlamat memperkembang potensi individu secara menyeluruh, untuk melahirkan insan yang seimbang dari segi intelek, jasmani, rohani dan emosi.

Hal ini bertujuan untuk melahirkan pekerja yang berilmu dan berketrampilan dan mampu berfikir secara kritis dan kreatif bagi memenuhi keperluan negara untuk mencapai kecemerlangan dalam ekonomi yang berasaskan pengetahuan atau jargon semasa, k-ekonomi.

Oleh itu, asas kepada perubahan ini terletak kepada beberapa perkara dan semua orang perlu bersikap terbuka - bukan sahaja masyarakat, tetapi juga guru, para pegawai kementerian, penggubal dasar dan sebagainya.

Kita juga sering mendengar rungutan tentang sikap segelintir pegawai di dalam kementerian yang beria-ia benar hendak mempertahankan kurikulum sedia ada, kononnya yang terbaik - sehingga menutup pintu kepada cadangan oleh pihak luar yang mungkin lebih profesional dan semasa sifatnya.

Parameter pertama di bawah FPK yang perlu mengalami perubahan ialah penyediaan kurikulum yang lebih relevan. Kurikulum perlu diubah suai mengikut keperluan semasa supaya murid memperolehi pengetahuan terkini, mengikuti perkembangan sosial dan menguasai kemahiran yang bernilai dari segi ekonomi.

Kedua ialah penyediaan sistem penyampaian yang berkesan - Sistem penyampaian yang berkesan akan meluaskan pengalaman murid kerana mereka dapat maklumat daripada pelbagai punca maklumat di seluruh dunia dengan menggunakan teknologi yang canggih seperti ICT. Sistem ini juga membolehkan pembelajaran kendiri dilaksanakan.

Ketiga ialah penekanan kepada pendidikan agama dan moral. Peningkatan kepada salah laku dalam kalangan pelajar sekolah dan gejala sosial dalam masyarakat memerlukan penerapan nilai agama dan moral pada semua peringkat pendidikan diperkukuh dan memastikan nilai baik dapat dihayati dalam semua aspek kehidupan.

Sebagai tambahan, pemupukan semangat patriotik perlu dipupuk melalui semua mata pelajaran. Pemupukannya juga dapat dilakukan melalui aktiviti kokurikulum dan khidmat masyarakat.

Pemupukan semangat patriotisme bertujuan untuk melahirkan murid yang mempunyai semangat cinta- kan negara dan berbangga sebagai rakyat Malaysia. Selain pembangunan insan, pendekatan strategik juga seharusnya berfokus kepada pembangunan sumber pendidikan serta penyelidikan dan pembangunan.

Setelah memahami kandungan FPK, marilah kita bertanya, sama ada UPSR - juga peperiksaan awam lain - telah mencapai gagasan membangunkan modal insan yang kita impikan itu.

Kalau belum, mengapa tidak kita ganti sahaja dengan yang lain. Mungkin perubahan dalam sistem pendidikan kelak umpama banjir besar - menghanyutkan terus sistem lapuk dan orang yang enggan berubah di dalam laluannya.

MEMUPUK BUDAYA MEMBACA

GOMBAK - Pelajar sewajarnya tidak menghadkan bacaan kepada buku akademik sahaja tetapi perlu diperluaskan dan dipelbagaikan supaya ilmu sedia ada dapat diperkasakan.

Guru Penolong Kanan Kurikulum Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI) Gombak, Salleh Ismail berkata, budaya membaca perlu dimantapkan agar masa yang terluang sentiasa diisi dengan pengetahuan dan tidak dibazirkan.

"Negara yang bertamadun bermula dengan budaya membaca yang unggul," katanya memberi dorongan kepada para pelajar sekolah itu ketika merasmikan Majlis Penutupan Bulan Nilamku Serlah Bahasaku Megah 2010 di sini baru-baru ini.

Sepanjang program tersebut pelbagai aktiviti diadakan seperti pertandingan bahas, pertandingan pidato, mencipta kain rentang dan pelajar yang membaca paling banyak buku serta Sudut Nilam antara kelas.

Program dianjurkan Panitia Bahasa Melayu dengan kerjasama pusat sumber sekolah.

Penyelaras Pusat Sumber, Durasni Abdullah memberitahu, program ini dirangka bagi menterjemahkan budaya membaca dalam kalangan pelajar di sekolah itu.

"Ilmu pengetahuan tidak akan berkembang selagi amalan budaya membaca tidak subur di hati pelajar," tegasnya.

Pelajar tingkatan empat, Nurul Nabihah Ahmad, 16, berpendapat, program yang diadakan berjaya meningkatkan keyakinan dirinya dan menjadi platform untuk menguji bakat serta kebolehannya.

"Hasilnya, saya berjaya menjadi Naib Johan dalam pertandingan Pidato Bestari 2010 anjuran Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) baru-baru ini," katanya girang.

Bagi Pembahas Bahasa Melayu sekolah itu, Azman Kholid, 17, aktiviti ini merupakan satu mekanisme penting dalam mempertingkatkan penguasaan bahasa dengan fasih dan berucap secara matang.


Salam 1 Malaysia..

Setelah 1 tahun lebih, blog sekolah ini terbengkalai dengan lamanya..
Maaf dipinta daripada admin.. Insya-Allah, selepas ini blog ini akan di kemaskini daripada masa ke semasa..


Ini adalah gambar terbaru warga SK Setapak sesi 2010.